TAKRIFAN PENDIDIKAN MORAL
Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran,perasaan dan tingkah laku.
Pendidikan Moral di sekolah menengah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama,tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan.
Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani,intelek,emosi,rohani dan sosial.
Prinsip-prinsip itu adalah :
- bertanggungjawab pada diri,keluarga dan orang lain;
- berpegang teguh pada ajaran agama;
- prihatin kepada alam sekitar;
- mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup
- bersemangat patriotik;
- menghormati hak asasi manusia; dan
- mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan.
Pemilihan prinsip-prinsip di atas dilakukan untuk merealisasikan semangat dan hasrat yang terkandung dalam Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.